Selepas 14 hari melalui tempoh berkempen, hari ini rakyat Johor akan memilih wakil rakyat mereka di 56 kerusi Dewan Undangan (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 untuk tempoh lima tahun.
Dua kerusi DUN menyaksikan pertandingan tujuh penjuru; empat lagi membabitkan enam penjuru; lapan dengan saingan lima penjuru dan 35 kerusi lagi menyaksikan saingan empat penjuru.
Antara pemimpin yang dijangka menjadi tumpuan ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang akan mengundi di SK Pengkalan Raja, Pekan Nanas di Pontian; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar di Muar; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Sekolah Agama Taman Sri Lambak di Kluang dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di SK Taman Sutera.
Semasa proses pengundian PRN Johor berlangsung, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan cecair sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) perlu memohon kebenaran pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.
Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal seperti diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing yang akan ditutup jam 11 pagi, manakala Sekolah Kebangsaan Pulau Pemanggil di Mersing pada jam 1 tengah hari.
Untuk rekod, 36,729 kertas undi pos dikeluarkan SPR, manakala kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi terdiri anggota polis, tentera dan pasangan yang menjalankan tanggungjawab mengundi awal, Selasa lalu.
DUN Johor dibubar pada 23 Januari lalu dan penmaan calon telah berlangsung pada 26 Februari 2022.
Discussion about this post