Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin berkata, dua projek terbesar di negeri itu – Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED) dan Empangan Papar akan diteruskan seperti dirancang.
Bung berkata, TAED, yang asalnya dirancang sebagai projek pembangunan bercampur bernilai jutaan ringgit di Tanjung Aru di sini, akan dikurangkan dan tidak membabitkan sebarang kerja penambakan laut.
Sebaliknya, katanya, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan memindahkan semula Empangan Papar ke lokasi asalnya di Penampang.
“Kami mungkin memindahkan empangan ke Penampang semula kerana saya dimaklumkan jika dilakukan di Papar, empangan itu hanya akan membekalkan air selama 60 tahun, sedangkan di Penampang tempohnya 85 tahun.
“Jadi kita punya lebih banyak masa sebelum perlu mencari sumber air lain – sebab itu saya kata kita perlu memindahkannya ke Kaiduan (di Penampang).
“Kekurangan air adalah masalah dialami di seluruh Sabah. Kita perlu berani, jika tidak rakyat Sabah akan terjejas,” katanya kepada pemberita di satu majlis semalam
Behrubung TAED, Bung berkata, kos projek berkenaan akan diturunkan berikutan tidak membabitkan kerja penambakan laut, namun sebahagian daripadanya mungkin turut membabitkan pantai popular, Tanjung Aru.
“Kami akan menggunakan pantai sedia ada, namun bukan sepenuhnya kerana masih ada kawasan awam. Lembaga pengarah telah dilantik ketua menteri dan saya percaya kerja-kerja akan dimulakan tahun ini,” katanya.
Kerajaan negeri diketuai Warisan turut merancang menjalankan semula kedua-dua projek, yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional terdahulu, namun dikecam hebat NGO dan parti politik termasuk dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Projek empangan itu dipindahkan ke Papar dari Kaiduan, Penampang, oleh Warisan tetapi terus dibantah hebat terutama daripada Taskforce Against Kaiduan Dam (Takad), antara lainnya.
Warisan juga bercadang mengurangkan projek TAED namun tetap dikecam.
Discussion about this post