Seramai 22,531 pengundi terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasangan akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada jumlah itu seramai 11,576 adalah warga PDRM Johor.
Beliau berkata, undi awal dijalankan di 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran yang disediakan di premis PDRM dan ATM seperti di dewan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kem tentera.
“Nasihat saya bagi yang mengundi awal, sentiasa peka kepada arahan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebelum menunaikan tanggungjawab ini pastikan menjalani saringan Covid-19 bagi memastikan tahap kesihatan,” katanya dalam sidang media di IPK Johor hari ini.
Kamarul Zaman berkata, seramai 382 anggota dan pegawai polis Johor mendaftar dengan undi pos bagi PRN Johor.
“Daripada 382 individu yang memohon untuk mengundi pos, seramai 276 diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala selebihnya adalah tidak,” katanya.
SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian dan 8 Mac bagi hari mengundi awal.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.
“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepnjang proses pengundian awal, SPR meminta pengundi mematuhi panduan pencegahan Covid-19 seperti memastikan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman, menjalani pemeriksaan suhu badan serta merekodkan kehadiran.
Discussion about this post