Kira kira 30 keluarga di Kampung Rasak Darat, DUN Tandek merayu perhatian pihak bertanggungjawab agar membaik pulih atau menaik taraf jambatan usang yang menjadi penghubung penduduk kampung tersebut ke pekan Kota Marudu.
Salah seorang penduduk kampung yang juga pengguna jambatan usang itu, Jaqueline William, 32 tahun berkata, usaha mereka sebelum ini termasuk mengetengahkan masalah tersebut ke laman sosial Facebook tidak membuahkan hasil.
Jaqueline berkata, kerana bimbang dengan keselamatan, penduduk kampung terpaksa mengambil inisiatif lain, iaitu melalui jalan lain yang lebih jauh, tidak rata dan berlopak teruk.
“Jarak kampung ini dari Pekan Kota Marudu adalah kira kira 11 Kilometer, kadangkala saya hanya memberanikan diri melalui jambatan tersebut, walaupun saya tidak yakin samaada saya berhasil melepasi dengan selamat atau tidak.
“Namun sekiranya saya ingin membawa anak anak atau ahli keluarga yang lain keluar ke pekan untuk mendapatkan rawatan dan sebagainya, saya terpaksa melalui jalan atau laluan yang berganda lebih jauh.
“Itu lebih baik, jika dibandingkan sekiranya berlaku kemalangan di jambatan itu seperti kenderaan jatuh dan saya membawa anak anak bersama, sudah tentu akan banyak nyawa yang dibahayakan,” katanya.
Jaqueline berkata, selain tergelincir, terdapat beberapa kenderaan yang telah menjadi mangsa jambatan rapuh tersebut, ada yang terkena paku pada tayar, tegelincir dari landasan dan terkena serpihan kayu.
Dan apa yang paling membimbangkan katanya, sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran rumah di kampung mereka, sudah tentu pihak pihak keselamatan khususnya Bomba tidak dapat melalui jambatan itu.
Tambahnya, hanya kenderaan kecil sahaja yang dapat melalui jambatan tersebut walaupun pada hakikatnya ia tetap membahayakan mereka sebagai pengguna.
Discussion about this post