Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diberi kepercayaan oleh kepimpinan Barisan Nasional untuk bertanding bagi lima kawasan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 pada 26 September 2020.
Presiden Parti, Tan Sri Joseph Kurup berkata ini adalah peluang kepada PBRS untuk membuktikan mereka sebuah parti tempatan yang diterima oleh setiap lapisan masyarakat.
“Semua anggota parti dinasihatkan untuk terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon kita pada kali ini.
“Kita perlu akur kepada keputusan pucuk pimpinan parti yang telah membuat pemilihan serta penilaian yang terbaik dari segenap aspek.
“PBRS juga yakin barisan calon yang dipilih akan menyokong perjuangan dalam memastikan hak dan kepentingan Negeri Sabah sentiasa dibela untuk kesinambungan pembangunan yang patut dinikmati oleh rakyat Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, PBRS memutuskan akan bertanding di lima (5) kerusi DUN iaitu Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tulid dan Sook.
“PBRS juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Sabah yang sentiasa memberikan sokongan dan dokongan kepada parti kami PBRS.
“Kepimpinan Tertinggi serta seluruh anggota PBRS akan berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta mendokong Kerajaan Perikatan Nasional demi untuk kestabilan dan kemakmuran negara Malaysia yang tercinta,” katanya.
Mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri DUN Sabah ke-16 PBRS:
1. Richard Kastum @ Mosinal N.05 Matunggong
2. Yillson Yanggung N.07 Tandek
3. Duanis Mogirong N.11 Kadamaian
4. Matusin Bowie @ Matius N.44 Tulid
5. Bonepes Been N.45 Sook.
Discussion about this post