Seramai 5,000 peserta dijangka datang menghadiri Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah 2022 yang akan diadakan pada Sabtu ini, kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar.
Konvensyen BN Sabah akan berlangsung di International Technology & Commercial Centre (ITCC) Penampang, Sabah sekaligus menjadi benteng untuk mengukuhkan lagi solidariti BN terutama di Sabah.
“Konvensyen ini berkemungkinan menjadi pertemuan terakhir ahli-ahli parti sebelum menghadapi pilihan raya yang disifatkan paling sengit dalam sejarah PRU di Malaysia,” kata Bung Moktar kepada media.
Beliau menegaskan, konvensyen ini juga menjadi peluang terakhir untuk ahli-ahli BN terutama peserta yang hadir untuk memanfaatkan sebaik mungkin dengan mengatur persediaan menghadapi Pilihan Raya ke 15 (PRU15) kelak.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan 5,000 peserta yang hadir adalah bukti bahawa keutuhan BN Sabah yang dipegang kerana mempunyai kesepakatan gabungan parti serta matlamat yang sama.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah menyatakan, walau hanya 4 parti gabungan dalam komponen Sabah namun ianya tidak menjadi halangan untuk kita bersikap saling memerlukan antara satu sama lain demi menyokong kerajaan.
“BN perlu mengambil pendekatan terutamanya merapatkan barisan kepimpinan dalam dan menyatukan seluruh jentera di semua peringkat sebelum kita berdepan PRU15 yang akan diadakan bila-bila masa sahaja,” jelas Bung Moktar.
Dalam masa yang sama, kesiapsiagaan yang perlu disediakan tidak fokus kepada jentera-jentera BN sahaja namun gerak kerja yang dirancang juga perlu berbeza daripada pilihanraya-pilihanraya sebelum ini untuk memastikan kewujudan BN akan lebih dekat dengan hati rakyat dan dipasakkkan dalam fikiran oleh mereka sendiri bahawa BN adalah perjuangan yang mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
Dalam kenyataannya juga menyatakan kedudukan UMNO sebagai parti yang lama dalam negara memerlukan parti-parti gabungan lain turut berganding bahu melancarkan pergerakan dalam memastikan kemenangan di PRU15.
Antara program yang telah disediakan untuk Konvensyen BN Sabah nanti ialah forum ‘Politik dan Ekonomi Sabah’ yang akan menampilkan ahli-ahli panel iaitu Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, Datuk Ahmad Shabery Chik, Drs Monih Epin, Prof Madya TS Dr Ramzah Dambul yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Pamela sebagai moderator.
Discussion about this post