Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba pada 8.05 pagi kemudiannya menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ oleh perwakilan yang hadir menyaksikan acara itu.
Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO bersama dua lagi Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan.
Perhimpunan kali ini yang disertai 5,571 perwakilan diadakan selama empat hari bermula Rabu.
Selaras dengan situasi Covid-19, Perhimpunan Agung UMNO 2021 diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk pematuhan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal.
Selesai acara yang penuh simbolik itu, Ahmad Zahid akan menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Dewan Merdeka.
Terdahulu anggota MKT mengabadikan momen PAU 2021 ini dalam sesi bergambar yang turut melibatkan anggota Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
PAU 2021 ini mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.
Sehari sebelumnya, perhimpunan agung bagi Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO lancar dilaksanakan selepas perasmian secara serentak disempurnakan oleh Timbalan Presiden parti.
Discussion about this post