ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew antara empat individu yang disiasat polis selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Selain Ronnie Liu, polis turut menyiasat dua pengguna laman sosial Twitter iaitu Uncle Ireeve dan Liew Lip Nan serta seorang pengguna Facebook, Ho Ruey Terng.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pada 21 Oktober lalu pihaknya sudah memulakan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook, Ronnie Liu Tian Khiew.
Katanya, pemilik Facebook itu membuat kenyataan ‘Now in Bangkok. They are saying No to the King’ (Terkini di Bangkok. Mereka mengatakan tidak kepada Raja).
“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap Raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan suspek dan merakam keterangan saksi yang kompeten serta mendapatkan keterangan dokumen,” katanya.
Huzir berkata, pemilik Twitter Uncle Ireeve pula disiasat pada 25 Oktober lalu selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Suspek menulis kenyataan ‘Kalau taknak tekanan berhenti jadi raja jela bodo. Tertekan pun duduk dalam istana so apahal?’.
Beliau berkata, seorang lagi pemilik Twitter Liew Lip Nan disiasat pada hari sama kerana mempertikaikan video dimuatnaik Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.
“Semalam, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) menahan seorang berusia 52 tahun di Cheras, Kuala Lumpur dan merampas perkakasan yang disyaki digunakan untuk memuat naik kenyataan yang tular,” katanya.
Sementara itu, Huzir berkata, pihaknya juga sedang menyiasat pemilik Facebook Ho Ruey Terng yang memuatnaik kenyataan berbaur hasutan dalam bahasa Inggeris.
Suspek juga memuat naik gambar Yang di-Pertuan Agong yang diedit untuk menghina.
Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Discussion about this post