Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru ahli akar umbi UMNO untuk terus bermuhasabah dan istiqamah dalam perjuangan parti itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Solidariti Bersama Presiden UMNO Dan Taklimat Isu Semasa, anjuran Wanita UMNO Malaysia di Auditorium Menara Dato Onn, di sini, semalam.
Program tersebut diadakan untuk memberikan penjelasan secara terbuka kepada pimpinan Wanita UMNO khususnya Exco-Exco dan Ketua-Ketua Wanita Bahagian disertai dialog terbuka bagi memberikan pencerahan mengenai isu semasa politik tanah air.
“Saya jelaskan isu semasa tentang Kerajaan Perpaduan dan berdialog lebih 2 jam bersama kepimpinan wanita UMNO iaitu para Exco dan ketua ketua Wanita Bahagian,” katanya menerusi catatan di Facebook selepas program berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk 30 orang Ahli Parlimen UMNO-BN menyertai Kerajaan Perpaduan adalah terpakai.
“Keputusan MKT UMNO untuk 30 orang Ahli Parlimen UMNO/BN menyertai Kerajaan Perpaduan atau Unity Government dan saya juga menjelaskan bahawa jika tiada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) maka keputusan MKT adalah terpakai.
“Itu yang diputuskan pada 23 November 2022 dan keputusan tersebut adalah muktamad,” katanya.
Pada Rabu lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara memutuskan untuk menyokong kerajaan perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dibentuk.
Ahmad Maslan turut berkata MKT akan terus memperkukuhkan sokongan terdapat Ahmad Zahid untuk terus menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.
Dengan ini katanya, MKT juga bersetuju wakili-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Discussion about this post