Pengerusi Barisan Nasional UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa beliau mengeluarkan artikel yang menyatakan kononnya beliau sebagai Presiden UMNO memberi amanat kepada ahli parti serta akar umbi berhubung perancangan PPBM untuk berkuasa.
“Ingin saya menegaskan bahawa artikel itu tidak ditulis oleh saya mahupun dengan kebenaran saya tetapi dilakukan oleh orang lain yang tidak diketahui individu berkenaan” kata beliau dalam satu hantaran Facebooknya pagi ini.
Dalam artikel yang dinafikan beliau itu turut menyebut bahawa pelbagai serangan telah diberikan ke atasnya, tindakan Ahli Parlimen melompat parti, penyalahgunaan kuasa, perpaduan ummah, PRU-15 serta pelbagai intipati lain.
Ahmad Zahid menyedari saban hari pelbagai fitnah dilakukan pihak tertentu bagi mengkucar-kacirkan situasi politik semasa serta memburuk-burukkan UMNO.
Justeru beliau berharap agar pihak yang melakukan perkara ini dapat menghentikan segera perbuatan politik jahat seperti ini.
“Saya menyarankan semua pihak yang mahu mendapatkan kenyataan rasmi daripada saya boleh meninjau melalui Facebook ini dan juga Telegram saya” katanya.
Tambah beliau, diharapkan Ramadan kali ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan amal ibadah dan bukannya menabur fitnah serta mengamalkan politik yang tidak matang.
Discussion about this post