Pengerusi Barisan Nasional, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati para penggemar aktiviti sukan berbasikal untuk berhati-hati melakukan aktiviti berkenaan.
Katanya senario pada hari ini memperlihatkan aktiviti berbasikal boleh mengundang bahaya jika tidak dikendalikan dengan baik apatah lagi mereka berkongsi jalan raya dengan kenderaan lain.
“Jika mahu berbasikal di jalan raya, pastikan memilih masa bersesuaian dan elakkan berada pada waktu puncak iaitu ketika orang ramai mahu pergi dan pulang bekerja. Pastikan juga mengayuh di tepi jalan bukannya di lorong tengah ataupun paling kanan.
“Lagipun, peminat sukan berbasikal juga tahu keadaan jalan raya di Lembah Klang. Terlalu banyak jalan yang berlubang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang turut mengepilkan video di hantaran tersebut berkata berdasarkan sebuah video yang saya terima daripada rakan baru-baru ini, saya memperhatikan gelagat dua penunggang yang mengayuh basikal dalam keadaan sangat bahaya.
“ Jaraknya dengan sebuah lori di hadapan terlalu dekat dan saya percaya jika lori itu berhenti secara mengejut, kedua-dua penunggang ini pasti terjerumus ke bawah lori.”
“Saya menasihatkan kepada peminat sukan berbasikal pilihlah lokasi kayuhan yang bersesuaian. Aktiviti ini lebih elok dilakukan di kawasan yang tidak berisiko dan terdedah kepada bahaya.”
Jika pengayuh basikal terjatuh ke dalam lubang, saya percaya agensi yang terlibat dalam mengendalikan jalan tidak akan memohon maaf melainkan anda adalah seorang menteri.
“Maka, jagalah diri dan sayangilah nyawa. Apa yang penting elakkan berada di kawasan trafik sesak kerana ia boleh mengganggu kelancaran lalu lintas,” katanya lagi.
Discussion about this post