Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pihak Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Swasta di Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Majlis yang diadakan semalam itu turut menyaksikan memorandum kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan pihak GLC serta industri.
“Sebelum ini, 18 syarikat telah menjalinkan usahasama dengan KKDW dan hari ini, KSM pula memeterai 10 lagi memorandum kerjasama ditandatangani bersama beberapa buah syarikat.
“Ianya seperti Petronas, Gamuda Berhad, Sunway Services, DRB Hicom, Berjaya Corporation, Redbeat Academy Sdn Bhd (Airasia Academy), Daikin Malaysia Sdn Bhd, Bermaz Auto Berhad, Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB),” kata Zahid menerusi hantaran di Facebooknya.
Ujarnya, kolaborasi yang dijalinkan ini diyakini mampu membuat satu lonjakan baharu kepada agensa TVET negara terutamanya melibatkan pembangunan kurikulum dan bahan latihan, sumbangan dan perkongsian serta peralatan.
Antara lonjakan lain adalah sumbangan khidmat kepakaran, kompetensi tenaga pengajar dan pembiayaan kepada setiap program latihan.
“Jangan berhenti di sini, saya berharap lebih ramai lagi GLC atau syarikat-syarikat swasta dapat kehadapan untuk membangunkan bakat TVET Negara,” tambah Zahid lagi.
Discussion about this post