Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan tuduhan yang mengaitkan dirinya sebagai ahli politik kononnya cuba ‘melindungi’ tertuduh dalam kes penderaan remaja perempuan OKU bernama Bella.
Justeru, beliau menegaskan tidak akan pernah melindungi sesiapa yang didakwa terbabit dalam jenayah dan menganggap tuduhan itu sebagai tidak masuk akal.
“Sebagai insan seperti anda semua tentunya saya juga mengharapkan keadilan buat Bella dapat ditegakkan.
“Terlalu banyak insiden menyayat hati dilaporkan dalam kes tersebut dan pastinya semua mahukan kebenaran.
“Saya berasa kesal apabila diberitahu tiba-tiba ada pihak cuba mengaitkan saya dengan kes tersebut.
“Menuduh saya cuba melindungi tertuduh dengan mengaitkan tertuduh memiliki 10 peguam bela kerana saya,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Jelas Zahid, hanya dengan mengaitkan gambar beliau dengan tertuduh juga tidak berasas, kerana sebagai seorang pemimpin mana mungkin beliau menolak permintaan sesiapa sahaja untuk bergambar.
“Biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama. Dakwaan saya cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal.
“Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian. Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan,” sindir Presiden UMNO itu.
Tambahnya, jika benar beliau mempunyai keupayaan seperti itu bukankah lebih baik `melindungi’ kesnya sendiri.
“`Melindungi” kes mahkamah dikenakan terhadap saya oleh kerajaan 22 bulan sejurus mereka memperoleh kuasa.
“Namun bukankah sehingga hari ini saya gagahi perjuangan untuk membersihkan nama saya di mahkamah,”ujarnya lagi.
Discussion about this post