UMNO sebagai sebuah parti yang berpengalaman lebih 70 tahun tidak akan terburu-buru untuk bersama parti mana dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata pada saat politik didominasi pemikiran baharu disebabkan letusan media sosial sudah pasti kepimpinan parti akan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang ketentuan.
“Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) akan menetapkan strategi untuk mengatur langkah tersusun ibarat menarik rambut daripada dalam tepung.
“Pada saat akar umbi sedang mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing, sudah pasti ia menjadi wadah untuk memperkuatkan parti dengan cetusan idea dari ahli-ahli.” katanya melalui satu kenyataan di Facebook.
Tambah beliau, sebagai pemimpin akar umbi hendaklah serahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan.
Pendapat pemimpin luar parti tidak perlu difikirkan kerana agenda UMNO adalah untuk mewujudkan kerajaan negeri yang mampu membantu rakyat dengan berkesan.
“Selagi boleh berunding kita akan melakukannya kerana fokus kita sebagai pembela nasib rakyat yang terhimpit akibat baru pulih daripada kesan pandemik Covid-19.
“Yang penting jangan rambut putus tepung berselerak.” katanya.
Discussion about this post