Penguatkuasaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795) dapat memastikan negara memperoleh faedah apabila sumber biologi yang dijumpai dikaji dan dibangunkan menjadi produk yang mempunyai nilai.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah berkata, penguatkuasaan secara langsung dapat membenteras “biopiracy”, iaitu aktiviti mengambil dan membangunkan sumber biologi negara tanpa izin sehingga negara tidak mendapat apa-apa faedah daripadanya.
“Malaysia yang merupakan antara 12 buah negara di dunia yang paling kaya dengan khazanah biodiversiti dan penguatkuasaan akta ini penting kerana kekayaan ini berpotensi besar untuk pembangunan dan penciptaan produk baharu dalam industri farmaseutikal dan nutraseutikal.
“Ia termasuk ubat-ubatan, makanan tambahan dan produk kosmetik,” menurutnya dalam kenyataan baru-baru ini
Pada masa yang sama katanya, penguatkuasaan akta itu juga boleh mendatangkan faedah kewangan antaranya royalti, fi bagi permit penyelidikan dan penghasilan paten daripada pengkomersialan produk yang diperoleh daripada sumber biologi.
Sementara bagi faedah bukan kewangan pula, termasuk perkongsian hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan melalui pertukaran penyelidikan dan penyelidikan kolaboratif serta peluang pekerjaan kepada masyarakat juga dapat dijana melalui penguatkuasaan akta ini.
Terdahulu, Shamsul Anuar mengumumkan penguatkuasaan akta tersebut bermula 18 Dis semasa merasmikan webinar “Access and Benefit Sharing (ABS)” serta pelancaran Buku Panduan Pengguna ABS dan portal MyABS yang dibuat secara maya, hari ini.
Discussion about this post