Kerajaan perlu mengambil iktibar mengenai kepentingan untuk memberi nasihat berdasarkan ketelusan, kewibawaan dan berperlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah termasuk dalam isu berkaitan penamatan ordinan darurat.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, sepatutnya kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk meminta Seri Paduka membatalkan ordinan kerana Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang masih boleh berkuat kuasa sehingga tempoh enam bulan selepas darurat berakhir pada 1 Ogos.
Oleh demikian katanya, penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak boleh dibuat dengan kuasa yang termaktub dalam ordinan darurat (kuasa-kuasa perlu) 2021 tersebut.
“Dari situ kita dapat lihat terserlahnya kebijaksanaan Seri Paduka apabila menitahkan semua ordinan dibentang dan dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu.
“Sebab itu Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar semua ordinan dibentang serta dibahaskan terlebih dahulu di Parlimen apabila Jemaah Menteri mencadangkan ia dibatalkan. Dengan itu akan membolehkan ahli-ahli Parlimen berbahas banyak isu berbangkit termasuk memberi pertimbangan PRN Sarawak, keperluan semasa dan isu-isu tadbir urus demi pelaksanaan semak imbang,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh negeri itu selama enam bulan sehingga 2 Februari 2022.
Pengisytiharan darurat setempat itu selaras di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan semalam dan akan berkuat kuasa mulai 2 Ogos.
Ini bagi mengelakkan PRN DUN Sarawak di tengah penularan pandemik Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.
Sementara itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, di dalam warta tersebut membuktikan tiga perkara iaitu pertama adalah proklamasi dan ordinan darurat mesti dibuat di atas kepuasan hati Yang di-Pertuan Agong.
“Kedua, jemaah Menteri boleh menasihati tetapi masih tertakluk pada persetujuan Seri Paduka kerana kuasa itu ialah pengecualian di bawah Perkara 40(1).
“Yang ketiga, sebarang proklamasi dan penggubalan ordinan termasuklah pembatalannya perlu diberi pemakluman awam, tidak boleh dibuat senyap-senyap.
“Persetujuan Yang di-Pertuan perlu dipohon dan dihormati oleh semua pihak, selanjutnya kita dapat perhatikan bahawa Seri Paduka tiada masalah untuk memperkenankan suatu permintaan jika itu berperlembagaan,” katanya -Utusan
Discussion about this post