JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu mengambil serius isu yang diketengahkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) terhadap sistem kesihatan negara yang berisiko untuk tumbang dan gagal jika tiada tindakan penambahbaikan diambil segera.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara perkara yang disuarakan adalah ketidakcukupan sumber manusia dan ruang pembangunan bagi sektor perkhidmatan awam.
Katanya, ketidakcukupan itu sebenarnya telah lama wujud dan kini diburukkan lagi dengan kedatangan pandemik Covid-19 yang menuntut hospital mengerahkan segenap tenaga yang ada pada tahap maksimum.
“Sistem pengambilan doktor secara kontrak nyata tidak membantu. Era pandemik seperti sekarang sangat memerlukan lebih ramai doktor dan kakitangan perubatan.
“Adalah sangat membimbangkan jika kerajaan tidak mampu menjamin perjawatan tetap kepada doktor-doktor kita apatah lagi membantu perkembangan kerjaya perubatan mereka pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seterusnya, jelas Mohamed Khaled, kerajaan perlu menerima hakikat bahawa sistem perubatan negara sedang dalam keadaan genting yang menuntut campur tangan kerajaan bagi mengambil tindakan segara.
Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu sehingga keadaan sudah kritikal dan terlambat kerana ketika ini banyak hospital telah terpaksa mengubah susun atur dan kemudahan wad unit rawatan rapi (ICU) secara drastik, manakala para kakitangan pula sedang bekerja hampir tanpa rehat.
“Perkara ini menunjukkan yang kita perlu membina kemudahan yang lebih banyak di seluruh negara. Ini adalah isu kritikal dan tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dipolitikkan, lihat sahaja bagaimana China yang membina hospital besar hanya dalam beberapa hari.
“Kerajaan mesti mula melihat sumber yang kita ada untuk disalurkan secara strategik dan segara kepada sektor perubatan. Kita mesti bersedia bukan hanya kerana pandemik Covid-19, tetapi kerana tuntutan keperluan perubatan sepanjang masa.
“Pengambilan lebih banyak kakitangan yang mencukupi mesti disegerakan dan pada masa yang sama imbuhan kepada sumber manusia mesti disemak. Mereka sedang kelesuan akibat terpaksa bekerja dalam tekanan, inilah masanya kerajaan memberikan imbuhan yang setimpal kepada kakitangan perubatan jika kita benar-benar menganggap mereka sebagai hero negara,” katanya.
Tambah Mohamed Khaled, pihak MMA turut menuntut agar Pelan Pemulihan Negara menyandarkan strateginya pada data dan dapatan saintifik kerana jika diperhalusi, pelan itu tidak lebih daripada sekadar menyenaraikan fasa dan tempoh masa tanpa memasukkan secara jelas apakah strategi dan pelan intervensi yang akan dilakukan.
“Tidak ada persediaan untuk berhadapan dengan sebarang situasi luar jangka. Justeru, kerajaan mesti dengar pandangan MMA dan sektor perubatan dan Menteri Kesihatan mesti memainkan peranan dan bersikap tegas. Keadaan yang berlaku di ICU Sungai Buloh tidak sama dengan realiti ICU di Batu Pahat.
“Jika pandangan dan saranan sektor perubatan tidak diendahkan, tidak mustahil pelan ini akan gagal. Segala tuntutan dan penambahbaikan ini adalah kritikal dalam memastikan kemandirian serta kelangsungan negara kita. Kerajaan tidak boleh berdegil serta berkeras untuk melakukan semua perkara hanya mengikut kehendak dan pengetahuan terhad mereka,” katanya.
Discussion about this post