Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil beberapa bekas wakil rakyat yang menjatuhkan Kerajaan Negeri Melaka lebih tidak bermoral berbanding seorang Timbalan Menteri bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan menegaskan, tindakan Bendahari PKR, Lee Chean Chung yang melabelkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lim Ban Hong tidak bermoral sepatutnya tidak perlu timbul dan dipersoalkan.
“Melaka terpaksa mengadakan PRN Melaka kerana tindakan Anwar Ibrahim sendiri yang bersengkongkol dengan bekas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pengkhianat.
“Chean Chung melemparkan pelbagai tuduhan, tetapi menutup mata terhadap penyertaan rakannya, Datuk Shamsul Md Akin yang juga seorang Ahli Parlimen, namun dia mempertahankan tindakan itu,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA, di Hotel World Youth, di sini, hari ini.
Selasa lalu, Bendahari Agung PKR menggesa Ban Hong meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi memberi tumpuan dalam PRN Melaka dan mengelakkan sebarang salah guna sumber ketika berkempen.
Dalam pada itu, pemimpin PKR itu dicabar memohon maaf kepada Bang Hong sekiranya dakwaannya benar bahawa calon BN itu menyalahgunakan kedudukannya sebagai timbalan menteri.
“Adakah beliau akan meminta maaf secara terbuka kononnya Ban Hong berkemungkinan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri.
“Ini secara tidak langsung mempersoalkan kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Menurutnya, undang-undang di negara ini membenarkan ahli Jemaah Kabinet di peringkat Persekutuan bertanding dalam mana-mana pilihan raya, apatah lagi Ban Hong telah melalui proses penamaan calon secara sah.
“Pencalonannya telah diteliti serta diluluskan oleh SPR sebelum ini. Oleh itu status sebagai seorang Senator dan Timbalan Menteri sememangnya tidak menjadi isu,” katanya.
Sekiranya Chean Chung masih tidak berpuas hati, beliau boleh mengemukakan bantahan melalui saluran perundangan kepada SPR dan bukannya melalui media bagi tujuan mengalihkan fokus rakyat Melaka terhadap isu-isu ekonomi.
“Kita menyeru Chean Chung dan PKR supaya tidak membazir ruang pendapat umum mahupun masa calon dan rakyat, tetapi bersaing secara rasional, sihat dan konstruktif,” katanya lagi. – BNCOMM
Discussion about this post