Pengarah Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan pendirian Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai tidak berprinsip.
Shamsul berkata demikian kerana sebelum ini media melaporkan, ketua pembangkang itu mendakwa pengeluaran KWSP tidak boleh diberikan laluan mudah.
Malah, Anwar berpendapat adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk memberikan bantuan kepada rakyat ketika susah, bukan membenarkan mereka mengeluarkan simpanan persaraan.
Namun, Anwar kini menukar pendiriannya dan mula menyokong pengeluaran KWSP kononnya setelah mendengar keluhan rakyat dalam siri jelajah kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.
“Anwar Ibrahim jelas, bukan pemimpin berprinsip. Pendiriannya berubah mengikut keadaan, dan kepentingannya,” kata Shamsul menerusi catatan di Facebooknya.
Bagaimanapun, beliau secara sinis berterima kasih kepada pemimpin itu kerana bersetuju dan menyokong perjuangan UMNO selama ini.
“Apapun terima kasih Presiden PKR kerana akhirnya akui apa yang UMNO BN perjuangkan itu betul,” sindirnya.
Tambah beliau, UMNO-BN sentiasa kekal konsisten dalam memperjuangkan isu pemgeluaran KWSP demi rakyat.
“UMNO-BN tahu kesusahan dan keperluan rakyat kerana itu UMNO-BN kekal mahu agar kerajaan membenarkan pengeluaran Wang KWSP,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu.
Discussion about this post