Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mencadangkan agar pasport di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diguna pakai bagi tujuan merentas negeri atau pengoperasian kilang.
Katanya, ia bagi menggantikan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana tiada jaminan bebas virus Covid-19.
Katanya, perlu ada prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu termasuklah sudah menjalani ujian saringan sebagai penyelesaian kepada surat MITI ketika ini.
“Kemungkinan, kalau ikut MITI dia fikir pasal kilang, tapi bagi saya untuk ekonomi jangan tengok kilang saja (tapi) hotel, usahawan sederhana, kecil, gerai-gerai macam mana nak buka.
“Kasihan mereka, kalau kita boleh buat SOP baru daripada yang sedia ada ini bahawa boleh bergerak, boleh buka tapi mesti ada pasport,” katanya ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, beliau merayu kerajaan memberikan subsidi untuk saringan itu.
“Persoalan adalah siapa yang akan membiayai saringan itu. Jadi saya merayu kerajaan memberikan subsidi. Kalau ini boleh kena RM60 atau RM80 tapi kalau kerajaan beri subsidi, B40 beri percuma, barulah ada pemisahan rantaian,” katanya.
Noh berkata, SOP baru itu perlu diadakan selain pematuhan yang sedia ada seperti memakai pelitup muka.
Discussion about this post