Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) YB Datuk Arthur Joseph Kurup, hari ini telah melancarkan Program Imuninasi Kebangsan COVID-19 Peringkat Zon Pendalaman Sabah fasa pertama yang melibatkan petugas barisan hadapan.
Beliau yang turut menerima suntikan vaksin di sesi pelancaran tersebut berkata Daerah Keningau merupakan daerah yang kedua menerima vaksin selepas Kota Kinabalu dan sebanyak 1,365 vials bersamaan 8,190 dos vaksin COVID-19 telah diterima bagi fasa 1 ini.
Katanya Hospital Keningau mempunyai kapasiti untuk menyimpan Vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, yang sangat sensitif terhadap suhu dan perlu disimpan dalam Penyejuk Beku Bersuhu Ultra-Rendah (Ultra Low Temperature Freezer – ULTF) dengan suhu -90°C sehingga -60°C. Ini bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum
Tambah Arthur lagi, Seramai 4,950 orang petugas kesihatan dan bukan kesihatan yang terdiri daripada
kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Anggota Polis, BOMBA, Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA, Kastam, Imigresen Jabatan Kebajikan Masyarakat dan guru yang akan menerima suntikan bermula hari ini.
” Dos pertama fasa 1 akan mengambil masa selama 2 minggu untuk dihabiskan dan dijangka selesai
pada pertengahan April 2021 di mana semua penerima akan melengkapkan dos 1 dan 2″.
Menurutnya lagi sebanyak 22 lokasi fasiliti awam termasuk dewan masyarakat dan balai budaya telah
dikenalpasti untuk dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) meliputi Daerah Keningau (10), Tambunan (6), Nabawan (4) dan Tenom (2) bagi fasa 2 dan 3 yang mensasarkan kepada orang awam.
Sementara itu Arthur juga berkata penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman khususnya bagi Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akses kepada capaian talian internet untuk mendaftar di dalam “my sejahtera” KKM akan menggunakan kaedah dokumentasi bercetak.
” Ini bagi memastikan tiada masyarakat yang akan tertinggal “no one left behind” daripada menerima suntikan vaksin tersebut” katanya lagi.

Jelas arthur lagi tindakan Kerajaan yang telah membenarkan rentas daerah di beberapa buah negeri mulai 5 Mac 2021 dijangka memberi kesan positif ke atas sektor pelancongan domestik yang akan membantu merancakkan ekonomi hiliran sektor pelancongan di negeri-negeri tersebut.
Beliau berharap agar Kerajaan Negeri Sabah akan mempertimbangkan kebenaran merentas daerah bagi negeri Sabah dengan memperketatkan Prosuder Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
” Pembukaan semua sektor ekonomi dilihat akan dapat merancakkan semula ekonomi dan dijangka pada suku kedua tahun ini ekonomi negara akan kembali berkembang. Justeru, pembukaan sektor ekonomi juga akan dapat mengurangkan kadar pengangguran dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan”
Kerajaan mensasarkan lebih 80 peratus rakyat Malaysia akan menerima suntikan vaksin COVID-19. Program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik COVID-19 katanya lagi.
Discussion about this post