Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menuntut supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC). Beliau menganggap kepercayaan rakyat terhadap AGC semakin terhakis baru-baru ini sehingga memberikan kesan kepada kerajaan.
Azalina yang juga bekas pengamal undang-undang berkata, RCI berkenaan harus dianggotai pakar perlembagaan tertinggi yang saksama dan akan memastikan pendekatan holistik diambil dalam membuat perubahan terhadap AGC sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara.
Katanya, AGC mempunyai empat peranan, iaitu bertindak sebagai penasihat undang-undang kerajaan, pendakwa raya, badan pentadbir hakim mahkamah rendah dan badan penggubal undang-undang.
Namun kata Azalina, kewujudan tiga peranan utama yang disebutnya itu dalam satu badan menimbulkan “konflik kepentingan berat yang mengaburkan amalan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan tuduhan pendakwaan selektif dan kekebalan” dan ini akan menyebabkan keyakinan rakyat tambah merosot.
“Persepsi ini mesti diperbaiki,” katanya dalam kenyataan.
Azalina berkata, RCI harus mengkaji pemisahan peranan itu supaya AGC hanya berfungsi pada asasnya sebagai penasihat undang-undang kerajaan.
Khidmat pendakwaannya harus dijadikan badan bebas di bawah Peguamcara Negara, sementara hakim mahkamah rendah boleh ditempatkan di bawah khidmat kehakiman dan undang-undang sebagai hakim di mahkamah khas.
Penggubalan undang-undang harus diserahkan kepada pejabat penggubal undang-undang Parlimen bebas yang berkhidmat untuk kementerian dan kedua-dua dewan Parlimen.
Kata Azalina, penting bagi AGC untuk menjawab kepada Parlimen mengenai perkara yang dinasihatkannya kepada kerajaan.
Di United Kingdom katanya, Peguam Negara dan timbalannya serta Peguamcara Negara terdiri daripada Ahli Parlimen daripada parti pemerintah, sekalipun bukan anggota Jemaah Menteri.
Sementara itu, di Australia dan Kanada, Menteri Kehakiman menjadi Peguam Negara.
“RCI harus mengkaji pembahagian tugas yang optimum antara Menteri Kehakiman dan Peguam Negara, jika kedua-duanya diperlukan, untuk memastikan akauntabiliti Parlimen penasihat undang-undang kerajaan,” katanya.
Azalina berkata, kerajaan harus membuat keputusan mengenai penubuhan RCI sebelum atau apabila Parlimen bersidang semula.
“Ini dapat membantu menggariskan komitmen kerajaan terhadap demokrasi berparlimen, kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik,” katanya.
Discussion about this post