Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ahli politik haluan kanan Sweden, Rasmus Paludan, membakar al-Quran dalam protes terhadap Turkiye, Sabtu lalu.
Katanya, tindakan keji Paludan itu bukan sahaja bersifat provokatif terhadap umat Islam seluruh dunia, malah menyalahguna kebebasan bersuara.
“Tanpa mengira niat sebenar beliau, tindakan keji oleh Paludan adalah provokasi yang jelas dan sangat tidak menghormati masyarakat Islam di seluruh dunia.
“Paludan juga menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dengan ketara dan dengan berbuat demikian, menjejaskan semangat hidup bersama secara aman dalam dunia berbilang agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya pemerintah Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap Paludan kerana perbuatan biadap itu.
Terdahulu, pemimpin berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.
Perbuatan biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.
Beberapa negara Islam lain juga mengecam perbuatan kurang ajar pemimpin yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu sebagai provokasi kebencian amat melampau.
Discussion about this post