Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap premis pub dan kelab malam yang terus beroperasi walaupun tidak dibenarkan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian perumahan kerajaan tempatan sudah pun menghantar notis kepada kerajaan negeri, berhubung perkara itu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kelab malam dan pub termasuk membatalkan lesen operasi malah mereka juga boleh disenarai hitam,” katanya pada sidang media di ibu negaa semalam.
Justeru, pasukan khas akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap milik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
Pada 1 Januari lalu, jumlah tangkapan melibatkan premis pub dan kelab malam mencecah 623 kes, antara kesalahan tertinggi yang pernah direkodkan ketika PKPP.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, berikutan terdapat risiko jangkitan yang tinggi di Apartment Amber Court, Jalan Genting, Bentong, Pahang, dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, kerajaan bersetuju melanjutkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti itu bermula 7 hingga 20 Jan.
Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat 454 kes positif di lokaliti Apartment Amber Court manakala 40 kes positif di PPA Muar dengan 38 baki sampel saringan yang masih menunggu keputusan.
Mengenai saringan wajib terhadap pekerja warga asing, beliau berkata, sehingga 4 Jan, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 99,163 pekerja warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 3,536 majikan.
“Daripada jumlah ini, seramai 2,079 pekerja disahkan positif COVID-19 manakala 97,084 lagi adalah negative,” katanya.
Beliau juga mengingatkan majikan supaya tidak ingkar arahan saringan yang dikuatkuasakan bermula 1 Jan lalu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), kerana majikan yang gagal mematuhinya akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti.
Discussion about this post