Bagi menghargai jasa dan bakti anggota perkhidmatan awam, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.
Bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen, Bantuan Khas Kewangan RM300 akan diberikan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Kedua-dua bantuan itu akan dibayar pada awal tahun 2021.
Dalam pada itu Kerajaan hari ini turut mengumumkan untuk membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 ringgit untuk tempoh 12 bulan.
Pengeluaran tersebut, menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.
“Sebagai Kerajaan yang prihatin, adalah wajar sebarang keputusan yang dibuat perlu berhati-hati dalam mengimbangi keperluan rakyat hari ini dan kebajikan pada masa hadapan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 yang bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk mengurangkan kadar caruman minimum KWSP pekerja daripada 11 kepada 9 peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna atau take-home pay.
Katanya, keputusan tersebut akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga 9.3 bilion ringgit.
“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan 4 bilion ringgit. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya.
Pengumuman kerajaan membenarkan pengeluaran RM500 akaun 1 KWSP itu menjawab gesaan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Barisan Nasional di mana mesyuarat yang telah dijalankan selasa lalu turut menutut kebenaran mengeluarkan wang terbabit ekoran penularan Covid-19 yang telah memaksa langkah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Discussion about this post