Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin menyifatkan penubuhan parti Bersatu adalah pemimpin yang khianat pada mandat pemilih kerana apa yang ditawarkan kepada orang Melayu tidak ada nilai dan politik moral yang baik.
Khaled mengeluarkan kenyataan tersebut apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui parti tersebut ditubuhkan untuk menggantikan UMNO dan merupakan parti yang bebas dari rasuah, politik wang dan salah guna kuasa.
“Yang ditawarkan kepada orang Melayu bukannya nilai dan politik moral yang lebih bermutu dan baik tetapi pemimpin yang khianat pada mandat pemilih dan parti mereka seterusnya diangkat sebagai pemimpin negara dan bangsa,” katanya dalam posting terbaru di Facebooknya.
Khaled berkata, walaupun presiden Bersatu menganggap parti mereka sendiri adalah alternatif yang lebih baik dan mempraktikkan kepimpinan bermoral, namun hasilnya tetap tiada perubahan yang dibawa.
Malah hingga kini katanya, tiada ideologi yang bernas dikeluarkan, tiada juga rencana yang luar biasa disediakan untuk bangsa dan negara. Kepimpinan yang ditawarkan juga tidak menunjukkan persona yang baik dari segi ketokohan, idea mahupun ‘conviction’.
Dalam masa yang sama, Khaled turut menyatakan hakikat sebenar Menteri Bersatu yang begitu lantang mengkritik cadangan kerajaan apabila RUU Anti Lompat dibincangkan oleh Jemaah Menteri atas alasan demi ketelitian dan penambahbaikkan adalah kerana tahu mereka adalah punca RUU tersebut dicadangkan.
“Tetapi semua orang tahu bahawa cerita sebenar ialah kerana mereka rasa terpukul dengan RUU tersebut. Merekalah punca utama keperluan RUU tersebut diusulkan untuk dijadikan undang-undang,” katanya.
Khaled turut menyenaraikan 26 daripada 39 Ahli Parlimen telah melompat parti asal dan menyertai Bersatu seterusnya dilantik menjadi menteri untuk mengurus negara ini.
Selain itu, Khaled mempersoalkan kualiti pemikiran dan ‘conviction’ yang dibawa oleh lapisan kedua pemimpin Bersatu untuk memimpin orang Melayu.
Khaled menekankan cara parti tersebut meguruskan kementerian dan dasar yang dikenalkan adalah menjurus kepada ‘a serious neglect of duty and failed leadership’. Kegagalan mereka untuk memimpin adalah kerana Presiden Bersatu yang tidak mempunyai ‘conviction’ mengikut apa yang diwar-warkan.
Bagi Khaled, Presiden Bersatu hanya ingin memegang kuasa dan tidak mempunyai kesanggupan untuk memperjuangkan orang Melayu dan tanahair ini.
“Bersatu adalah projek politik yang gagal dan tidak akan membawa bangsa Melayu kemana-mana untuk selama-lamanya,” tulisnya lagi.
Discussion about this post