Menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang boleh diadakan pada bila-bila masa, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah terus melakukan gerak kerja bagi mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN).
Sebagai tanda bersiap sedia, beliau telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya Barisan Nasional Lenggong baru-baru ini untuk gerakan selanjutnya.
“BN Lenggong telah bersiap sedia. Keutamaan BN Lenggong ialah bagaimana mahu memenangi hati rakyat.
“Keazaman BN Lenggong tetap kukuh. Kita mahu mempertahankan kemenangan BN bagi P055 Lenggong, N03 DUN Kenering dan N04 DUN Kota Tampan,” kata Shamsul Anuar menerusi posting di Facebooknya.
Mesyuarat tersebut yang diadakan di Bilik Gerakan BN Lenggong dipengerusikan oleh Pengarah Pilihanraya BN Lenggong, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Menteri Besar Perak.
Turut hadir, pimpinan tertinggi UMNO Lenggong, Datuk Tarmizi Idris, Pengerusi MCA Lenggong, Datuk Dr OK Ong, Pengerusi MIC Lenggong, R.Kumaredeven dan semua pimpinan tertinggi UMNO, MCA, serta MIC.
“Saya selaku Pengerusi Bilik Gerakan BN Lenggong membentangkan persiapan BN Lenggong menghadapi PRU15 dalam mesyuarat ini,” tambah Shamsul Anuar lagi.
Discussion about this post