Barisan Nasional (BN) dijangka berupaya untuk memperoleh dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan kepada sokongan positif daripada pengundi-pengundi Johor setakat ini yang sudah serik dengan tipu daya pembangkang pada pilihan raya lepas.
“Kita yakin kita boleh menang dengan jumlah (kerusi) yang mencukupi untuk kita membentuk kerajaan, Insya-Allah kita yakin itu.
“Tetapi kita mengharapkan untuk memperoleh majoriti dua pertiga, bagi memperolehinya, kita memerlukan 38 kerusi dan usaha itu sudah dijalankan.
“Kita yakin jika dokongan yang berkekalan dan berterusan daripada pengundi-pengundi, maka azam kita untuk mendapat dua pertiga majoriti akan tercapai,” katanya pada sidang media selepas menyantuni pengundi di DUN Sungai Balang, semalam.
Ahmad Zahid juga tidak menolak kemungkinan serangan pembangkang bertali arus bukan sahaja terarah kepada calon-calon BN, bahkan memainkan isu nasional untuk menafikan jasa parti itu kepada pembangunan negara.
“Kita tahu serangan bertubi-tubi sedang menghala bukan sahaja terhadap produk-produk kita, iaitu calon-calon BN, tetapi isu-isu nasional dibawa untuk diskredit kita dan kita menjangkakan itu semua.
“Namun kita yakin kebijaksanaan pengundi-pengundi di Johor merasakan bahawa mereka telah terpengaruh dengan tipu daya, janji-janji manifesto dan juga fitnah dilontarkan kepada kepimpinan BN sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, BN tidak akan sesekali terlalu selesa dan terlampau yakin untuk memenangi PRN Johor yang sebahagian besarnya adalah kubu kuat parti itu.
“Calon Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad merupakan pilihan tepat dan tiada isu-isu melibatkan isu kredibiliti, jauh sekali melibatkan prestasi beliau selama tempoh singkat ini menjadi Menteri Besar Johor.
“Pada hemat saya, faktor-faktor itu positif, namun kita jangan terlalu yakin, namun kita dapat merasakan kita bukan hanya dapat membentuk kerajaan bahkan boleh memperoleh dua pertiga dalam pilihan raya kali ini,” katanya lagi.
Discussion about this post