Barisan Nasional (BN) akan memohon penangguhan terhadap titah 30 Ahli Parlimen supaya mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, 10.30 pagi ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Media Presiden UMNO itu, Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican kepada BNCOMMS ketika dihubungi.
Terdahulu, beberapa pemimpin kanan BN juga berkata demikian selepas selesai bermesyuarat malam tadi.
Dijangka, permohonan penangguhan itu dibuat kerana BN masih kekal pendirian untuk tidak memihak Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, BN meneliti pelbagai perkara termasuk kedudukan parti dalam mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun, katanya, gabungan itu belum membuat keputusan memilih menyokong mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan.
“Kalau boleh kita akan menangguhkan (sesi menghadap) sebab kita sudah minta Istana Negara (kerana mahu) meneliti beberapa perkara lagi.
“Kita minta Istana Negara sama ada boleh tangguh atau tidak. Setiausaha Agung BN sudah maklumkan tadi, kalau tangguh, tangguh lah,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
BN mengadakan dua mesyuarat khas malam tadi iaitu mesyuarat dan Dewan Tertinggi BN dan Ahli Parlimen BN.
Ia susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk mengadap Seri Paduka di Istana Negara, pagi ini.
Semalam, BN bersetuju menetapkan tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan, susulan kemelut pembentukan kerajaan ketika ini.
Discussion about this post