Barisan Nasional (BN) masih kekal sebagai blok pembangkang di Selangor melainkan ada arahan daripada pucuk pimpinan susulan kerjasama gabungan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Memetik laporan TV3, kedudukan ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan diteliti semula berikutan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, Badan Perhubungan UMNO Selangor dijangka mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.
“Belum ada apa-apa arahan, saya sedang menunggu. Insya-Allah sehari dua ini ada mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor, mungkin di situ akan ada beberapa pengumuman oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor (Datuk Megat Zulkarnain Omardin) yang baharu.
“Buat masa ini, saya masih pembangkang untuk semak dan imbang kepada kerajaan negeri bagi memastikan segala dasar kerajaan negeri dapat dibuat kepada rakyat di Selangor, khususnya ketika ini apabila rakyat terkesan dengan COVID-19, selain masalah ekonomi yang melanda dunia hari ini.
“Saya serah kepada pucuk pimpinan BN untuk meletakkan hala tuju BN Selangor sebab fokus saya adalah perjuangkan nasib rakyat, tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang sebab kedua-duanya mempunyai peranan untuk memastikan rakyat terbela,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini.
Komposisi terkini kerusi DUN Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (15) AMANAH (enam), UMNO (lima), BERSATU (empat), PEJUANG dan Parti Bangsa Malaysia masing-masing dua, manakala PAS, WARISAN serta BEBAS, masing-masing satu kerusi.
Dalam masa sama, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, berkata, kedudukan DUN Selangor akan disusun semula sekiranya beliau mendapat arahan seterusnya namun setakat ini belum ada perbincangan dan arahan daripada Menteri Besar.
“Setakat ini, mereka akan kekal sebagai pembangkang, beliau (Datuk Rizam Ismail – BN Sungai Air Tawar) masih berperanan sebagai pembangkang dalam perbahasan.
“Kemungkinan dan kebarangkalian (kekal) sebagai pembangkang agak kecil.
Kemungkinan ada (tidak lama lagi), BN akan di blok kerajaan sehingga tempoh pembubaran DUN,” katanya.
Discussion about this post