Rakyat diingatkan agar tidak terperangkap dengan janji manis parti yang menaburkan pelbagai janji-janji dalam manifesto mereka semata-mata untuk meraih undi pada PRN Johor.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata rakyat sebelum ini telah dijanjikan bukan sekali tetapi dua kali oleh parti terbabit buktinya melalui pertukaran Menteri Besar Johor sebanyak dua kali.
Namun katanya tiada hasil yang dilakukan dan tidak mungkin janji kali ketiga dalam PRN Johor parti berkenaan dapat melaksanakannya.
“Saya harap pengundi rakyat di Johor jangan terperangkap janji manis ini. Dulu sekali, lepas itu dua kali. Tak kan kali ketiga akan jadi.
“Di Kota Tinggi ada dua DUN dulu kita menang tapi kerana keadaan berubah yang menang beralih. Saya harap pengundi DUN Sedili dan DUN Johor Lama beri mandat pada BN untuk menangkan kerusi ini pada kali ini.
“Kita harap keyakinan pengundi diberikan kembali supaya kerusi itu diberikan kepada BN dan kerajaan BN dapat teruskan agenda kesejahteraan rakyat,”katanya.
Halimah berkata dari dahulu kedua-dua DUN berkenaan adalah kawasan BN dan kini mendapat persaingan dari calon dari Perikatan Nasional (PN).
“Pada saya persaingan berlaku ia hak demokrasi yang diberikan tetapi dari segi keyakinan pengundi insya-Allah kedua DUN sekali lagi akan beri mandat pada parti BN untuk tubuhkan kerajaan negeri dan kerajaan negeri akan uruskan kesejahteraan rakyat.
“Manifesto kita pun sudah umum itu perkara yang akan dilakukan bukan janji kosong. Berbeza dengan parti lain hendak tunaikan janji dahulu pun tidak selesai inikan janji akan datang,”katanya lagi.
Discussion about this post