Barisan Nasional (BN) sememangnya tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana pimpinan parti itu langsung tidak boleh dipercayai.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, apatah lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah seorang pemimpin yang mengkhianati parti untuk kepentingan peribadi.
“Di Johor ini kalau orang bukan Melayu nampak kita bekerjasama dengan orang Pas, kita (BN) ditolak. Nanti kita (BN) pula yang jadi mangsa.
“Orang Johor bukan tidak kenal Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita dukung beliau ketika dalam Umno sampai beliau naik sebagai Menteri Besar, Menteri dan lepas itu jadi Timbalan Perdana Menteri.
“Akhirnya beliau (Muhyiddin) tikam Umno, sama-sama kempen dengan Pakatan Harapan (PH).. DAP..beliau hentam Umno..burukkan Umno. Mana orang Umno boleh terima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir Bicara Nasional bertajuk Peluang Rakyat Pilih Kerajaan Stabil.
Bicara itu dihoskan oleh Ketua Sekretariat Komunikasi BN, Datuk Adnan Seman.
Ia turut dihadiri Ketua Wanita Umno Bahagian Batu Pahat, Datin Nur Hajar Abdul Rahman.
Nur Jazlan berkata, Muhyiddin juga merupakan seorang pemimpin yang penuh kepura-puraan.
“Dalam Umno dahulu, beliau (Muhyiddin) tidak bercakap banyak, tetapi kecuali ketika beliau hendak menjatuhkan pemimpin.
“Lepas itu beliau (Muhyiddin) bersama Tun Dr Mahathir (Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air) pula, boleh percaya ke orang seperti ini.
“Masa beliau (Muhyiddin) jadi Perdana Menteri, press conference (sidang media)pun tiada atas alasan beliau (Muhyiddin) pesakit kanser. Sekarang boleh bercakap banyak pula,” katanya.
Discussion about this post