Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum rakyat Johor menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, Barisan Nasional (BN) kini menumpukan kempen bersemuka oleh calon dalam usaha untuk mendekati lebih ramai pengundi di kawasan mereka berbaki dua hari lagi membuang undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata BN turut mempercepatkan gerak kerja jentera pilihan raya bagi memastikan kesemua 56 calon BN dapat bertemu dengan lebih ramai pengundi.
“Lagi dua hari sebelum kempen PRN Johor berakhir, BN mahu setiap calon bertemu dengan sebanyak mungkin pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Justeru kempen BN sekarang lebih kepada ‘visibility’ kehadiran calon yang dapat dilihat pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada Komuniti yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Felcra Sri Mahkota, Endau semalam.
Dr Adham yang juga Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) berkata jentera BN bagi PRN Johor paling berstruktur kerana menjalani latihan simulasi.
Katanya, jentera BN juga mampu menjalankan kempen mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.
“BN pada asasnya kukuh, jika kita lihat di Johor sahaja UMNO mempunyai sebanyak 2,400 cawangan. Itu tidak termasuk MCA dan MIC.
“Jentera pilihan raya BN paling berstruktur kerana mereka telah dilatih menghadapi sebarang pilihan raya negeri, pilihan raya umum dan pilihan raya kecil,” katanya.
Discussion about this post