Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia untuk menggerakkan pegawai dan anggota jabatan itu secara menyeluruh bagi membantu mangsa banjir jika keadaan bencana alam itu semakin meruncing.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau telah bercakap dengan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid untuk mengatur gerak membantu kerja menyelamat mangsa banjir.
“Ketika ini seramai 4,819 anggota JBPM termasuk pasukan bomba bantuan diatur gerak untuk membantu kerja menyelamat dan membawa mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri sedang dilanda banjir.
“Kemungkinan kita akan minta pihak bomba di negeri tidak terbabit banjir untuk membantu enam negeri itu dan ia dijalankan secara bersepadu dengan diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Pihak bomba sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu dan saya sudah bercakap dengan Ketua Pengarah JBPM untuk gerakkan secara kapasiti paling penuh bagi bantu Nadma (untuk bantu mangsa banjir) jika ada keperluan dan keadaan banjir semakin meruncing,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ditemui selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana peringkat Parlimen itu yang disertai seramai 150 kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, beliau akan diberikan taklimat berhubung kejadian banjir dan bencana alam itu petang ini oleh pihak JBPM di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong, Selangor bagi mengetahui lebih lanjut keadaan dan usaha membantu mangsa banjir.
Beliau turut meminta semua terbbait dalam kejadian banjir agar segera menghubungi talian kecemasan dan patuhi arahan pihak berkuasa pada setiap masa dengan mengutamakan keselamatan nyawa diri serta keluarga.
“Saya difahamkan banyak tempat dilanda banjir berikutan taburan hujan jauh tinggi berbanding kebiasaan, malah ada tempat mengalami keadaan agak sukar berikutan keadaan jalan terputus dan berlaku tanah runtuh.
“Pihak bomba sedang membantu mereka yang terlibat dalam bencana alam,” katanya.
Discussion about this post