Keputusan mengadakan PRN Johor dibuat untuk memberi kestabilan lebih kepada rakyat dan demi kebaikan masa depan bangsa Johor serta tiada kena mengena dengan keinginan kepimpinan tertentu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan isu yang dimainkan pihak lawan seperti kluster mahkamah, pintu belakang serta hendak berkuasa semuanya hanyalah cerita yang sudah basi.
“Saya nak ingatkan pengundi, 13 Mac mereka semua yang cakap-cakap ini (yang kempen) akan balik. Keduanya tak ada kluster mahkamah yang bertanding di DUN Penawar dan DUN Tanjung Surat. Kita tawarkan ketua pemuda UMNO dan ketua Wanita UMNO yang dilahirkan dari keluarga UMNO.
“Satu perut dengan ahli parlimen senang untuk kita buat kerja sebab lepas menang kita nak buat kerja bukan lepas menang kita hilang sebab itu saya kata, cakap memang senang nak buat susah, jangan marah nyamuk bakar kelambu.
“Kemudian yang pembangunan ini siapa nak selesaikan kalau suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berlainan dari parlimen, berlainan dengan kerajaan negeri, siapa hendak selesaikan masalah kalau rakyat Johor pilih kerajaan yang tak majoriti,” katanya kepada media selepas hadir program sumbangan tong ikan kepada nelayan di Jeti Sungai Musoh hari ini.
Azalina yang juga merupakan Ahli Parlimen Pengerang berkata, sehingga hari ini beliau menerima respon positif berkenaan calon BN di kedua-dua DUN tersebut.
Katanya beliau meminta agar pengundi muda dan pengundi automatik seramai 14,000 orang untuk pilih calon BN terdiri dari anak tempatan dan tidak terlampau ghairah terhadap isu-isu yang tidak relevan dimaikan pihak lawan.
Beliau juga berharap calon yang menang kelak tidak akan lupa amanah dan tangungjawab kerana perjuangan belum selesai lebih lagi soal pekerjaan yang mana beliau tidak mahu Pengerang dipenuhi orang luar.
“Itu sebab pekerjaan satu hal, kemahiran lain, saya sudah minta sekolah vokasional, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), usahawan, macam-macam kita perlu buat hanya pembangunan sahaja tidak cukup.
“Sebab itu kesinambungan itu perlu bila kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sama macam-macam boleh buat tetapi apa yang berlaku disini tergendala sekejap 22 bulan kemudian sambung 17 bulan sebab itu keadaan politik perlu stabil untuk berikan kestabilan kepada negeri dan negara,” katanya lagi.
Discussion about this post