Calon BN bagi DUN Kemabong, Datuk Raime Unggi menegaskan permohonan pengeluaran geran tanah adat rakyat tempatan tetap menjadi keutamaan pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk masa depan rakyat Sabah.
Katanya, inisiatif pengeluaran geran-geran tanah di Sabah telah dilakukan oleh Kerajaan BN sejak tahun 2011 untuk membantu rakyat tempatan Sabah yang telah memohon berpuluh tahun namun belum lagi mendapat geran.
“Kerajaan era BN dahulu pimpinan Tan Sri Musa Aman dalam aspek geran tanah adat yang telah mengalami kelewatan pengukuran sejak 40 hingga 50 tahun lalu kerana masalah peruntukan dan petugas pengukuran.
“Apabila masalah itu telah dikenalpasti, kerajaan negeri terdahulu telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional.
“Maka, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM20 juta setahun sejak tahun 2011 bagi kerja-kerja pengukuran yang dilaksanakan menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Sabah (PANTAS).
“Inilah antara perjuangan dan usaha Kerajaan BN dahulu yang mungkin tidak diketahui ramai dan disedari oleh ramai pihak terutamanya dalam isu pengeluaran geran tanah adat dan geran Komunal NT di Sabah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Berkelompok di Kg. Angalor, Kemabong.
Beliau menjelaskan bermula pada tahun 2011, kerja pengukuran tanah adat dapat dilakukan dengan cepat. Keadaan itu turut menjadikan tempoh penyediaan geran lebih singkat.
“Apa yang agak menyedihkan, apabila kerajaan bertukar alih, penyerahan geran kepada pemohon hanya disempurnakan ketika Datuk Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Penduduk kampung harus menyedari bahawa Kerajaan BN dahulu ingin membela nasib rakyat bukannya seperti dakwaan pemimpin Parti Warisan yang menyalahkan Kerajaan BN tidak mempedulikan permohonan tanah-tanah penduduk kampung.
“Saya mahu penduduk diKemabong terutamanya hal tanah dapat diselesaikan dan dipercepatkan pengeluarannya walaupun terdapat proses-proses yang agak lambat hingga mengambil masa berpuluh tahun,” katanya.
Discussion about this post