Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memuji kepimpinan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang diumpamakan sebagai permata bernilai tetapi lupa digilap oleh rakyat.
Katanya, adalah wajar Bung Moktar diberi peluang dan sokongan yang bertanding sebagai calon Anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan baharu di Kinabatangan iaitu DUN N58 Lamag sebagai calon Barisan Nasional.
Beliau juga mengajak rakyat agar mencari seorang pemimpin baharu yang berjiwa rakyat dimana Bung Moktar juga mempunyai sikap merakyat dan keutamaan ini juga harus diberikan kepada rakyat Sabah.
Zahid berkata demikian pada satu sesi perjumpaan selepas penamaan calon di Pusat Operasi DUN N58 Lamag Kinabatangan, pada Sabtu.
Dalam perkembangan Pilihan Raya Negeri Sabah, Zahid memberitahu UMNO Sabah akan membentangkan aku janji dan manifesto PRU Dun Sabah pada 16 September ini.
“Sudah pasti ini akan membawa sesuatu yang baharu dan di luar kotak pemikiran dalam memastikan matlamat bagi mengutamakan kepentingan rakyat tercapai,” jelasnya.
Memberi bayangan antara manifesto yang bakal dibentangkan, Zahid berkata, ini termasuk pelaksanaan semula Projek Pan Borneo selain mana-mana projek pembangunan yang ditangguhkan oleh kerajaan sebelum ini disambung semula.
Dalam pada itu, meskipun terdapat Gabungan Rakyat Sabah baharu ditubuhkan, Bung Moktar yakin BN akan menang pada PRU Dun Sabah ke-16 ini.
Katanya, apa yang lebih penting tawaran perkhidmatan terbaik kepada rakyat dilaksanakan dengan sebaiknya.
DUN Lamag menyaksikan pertembungan 5 penjuru iaitu Bung Moktar, Razman Mayah dari Parti Cinta Sabah, Ismail Ayob dari Warisan, Junny @ Karuak Abdullah sebagai calon bebas dan Mohd Al Ruzainie @ Shirin Abdul Rahman bertanding sebagai calon Parti Perpaduan Rakyat Sabah.
Discussion about this post