Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, S Suppayah bertuah sentiasa ditemani isterinya yang berbangsa Tionghua dalam siri kempennya.
Suppayah, 57 memberitahu isterinya, Lee Sok Fong, 53 banyak membantu beliau terutama ketika bertemu dengan pengundi Cina di kawasan Bukit Batu sebagai menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Menurutnya, mereka bangun seawal jam 5 pagi untuk membuat persiapan sebelum keluar berkempen mulai jam 7 pagi setiap hari mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Kami sudah berkahwin selama lebih 20 tahun. Ketika saya memberitahu terpilih sebagai calon mewakili BN pada PRN Johor kali ini, isteri amat positif dan menyatakan hasratnya untuk membantu saya.
“Isteri membantu edaran risalah berkaitan PRN. Saya bersyukur kerana isteri menjadi sumber kekuatan sejak saya diumumkan sebagai calon.
“Saya mampu memahami bahasa Mandarin, namun tidak fasih. Oleh itu, isteri membantu berkomunikasi dengan pengundi berbangsa Tionghua ketika berkempen,” katanya.
Ketua MIC Bahagian Kulai Itu memberitahu, setakat ini, beliau menerima sambutan yang begitu baik daripada para pengundinya khususnya dari masyarakat Tionghua di Bukit Batu.
“Majoriti pengundi di kawasan DUN Bukit Batu adalah terdiri daripada penduduk berbangsa Tionghua (24,771), di samping Melayu (16,770) dan India (3,790),” katanya.
Discussion about this post