Calon Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura Barisan Nasional-MCA, Chan Boon Thian berhasrat membawa perubahan yang lebih baik dikawasan ini bagi mana-mana yang gagal dilaksanakan penyandang sebelum ini.
Chan yang berusia 40 tahun, pemegang Diploma Kejuruteraan Sivil ini juga adalah naib setiausaha MCA Bahagian Sandakan dan ahli jawatankuasa MCA Sabah.
Beliau juga pemimpin yang bergiat aktif bersama badan bukan kerajaan dan kerja-kerja kebajikan sejak beberapa tahun lepas.
Chan juga adalah Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Sandakan yang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tempatan.
Beliau menawarkan dirinya untuk memberi khidmat kepada penduduk di Elopura kerana mahu meningkatkan sosio ekonomi rakyat di kawasan dewan undangan Elopura, melalui hubungan rapat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Jika saya diberikan mandat oleh pengundi Elopura pada 26 September ini, saya percaya saya boleh memberikan kesan perubahan yang positif kepada kawasan Elopura,” tambah Chan.
Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan dan ramah mesra di Pasar Malam Kim Fung, Batu 4, Sandakan, pada Sabtu malam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah bagi kawasan DUN Elopura, Chan akan berdepan persaingan dengan 5 calon yang lain iaitu, penyandangnya, Chong Ket Kiun (Warisan-DAP), Voo Min Gin (Parti Cinta Sabah), Chong Thien Ming (LDP), Siti Khairiah Sheikh Mohammad (USNO) dan Mohamad Saini Ahmad Tang (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).
Discussion about this post