Calon Pemuda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru berikrar akan menyelesaikan masalah yang masih membelenggu penduduk di kawasan itu.
Mohd Reduan Aklee yakin beliau mampu meraih kemenangan besar meskipun berdepan cabaran besar apabila bersaing 8 penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Beliau mengakui bukan sahaja DUN Tanjung Aru yang akan berhadapan dengan risiko perpecahan undi apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) turut bertanding selain daripada Barisan Nasional (BN) dan enam lagi parti lain, namun sebagai calon muka baharu, Reduan yakin dengan kekuatan parti untuk meneruskan kerja keras dalam tempoh berkempen yang berbaki 12 hari lagi.
Mohd Reduan yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putatan berkata akan menggunakan kelebihan sebagai anak jati Tanjung Aru bukan sahaja untuk meraih undi bagi dirinya malah untuk seluruh rakyat Sabah mengundi parti itu.
“Sebagai anak muda saya amat berbesar hati kerana pada PRN kali ini DUN Tanjung Aru diberikan kepada seorang calon muda yang diketengahkan menjadi calon BN.
“Tetapi bukan itu sahaja calon BN kali ini dipilih di kalangan anak tempatan sebab sebelum ini BN tidak pernah mengenegahkan calon daripada anak tempatan kerana semua YB bukan dari kawasan kita.
“Jadi visi kita akan mengeluarkan idea bernas dan lebih kreatif dan idea berjiwa muda tapi pada masa yang sama tidak melupakan golongan yang senior dan berpengalaman,” katanya ketika ditemui berkempen di Pulau Gaya.
Tambahnya meskipun ini kawasan kampung tetapi ia mesti diselaraskan dan selari dengan status bandar yang berdekatan dengan Kota Kinabalu.
“Jadi dengan adanya cabaran kali ini sudah pasti ekonomi merudum tetapi Insya Allah kita akan membuat satu cadangan supaya permulaan perniagaan kecil dapat dimulakan untuk menjana ekonomi kita.
“Kampung Tanjung Aru memang ada masalah penempatan tapi itu sudah lama diperjuangkan oleh parti kita dulu tetapi apabila warisan memerintah tiada apa-apa yang diberikan.
“Dan jika BN diberi mandat kita akan perjuangkan kembali hak ini.
Discussion about this post