Calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bertekad dan komited untuk menumpukan tindakan terhadap apa yang telah dijanjikan sekiranya diberi mandat esok.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek, Yillson Yanggun berkata, selama 14 hari berkempen, lebih 20 buah kampung dilawati, kira kira 1, 500 pengundi ditemui, suka duka, pahit manis dalam tempoh sesingkat ini sangat mendewasakan.
Katanya, pelbagai rintihan, keluhan, dan harapan penduduk di daerah kelahirannya ini yang jelas dahagakan perhatian yang sudah tentunya harus digalas oleh wakil rakyat yang dipertanggungjawabkan itu bermula esok.
“Bagi saya, tidak ada kompromi lagi, berhenti bercakap dan berjanji, sudah masanya untuk bertindak sekiranya diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat pada Sabtu ini (26 September 2020)
“Tanggungjawab itu bukan satu bebanan untuk dipikul, tetapi merupakan satu kehormatan dan kepercayaan yang harus digalas dengan cermat dan penuh amanah.
“Suara mereka (penduduk Tandek) adalah kekuatan kepada saya untuk terus bangkit membela tanah kelahiran ini, membela penduduk Tandek yang tidak lain tidak bukan merupakan saudara saudari saya sendiri,” katanya.
Menurut Yillson, sebagai anak muda dan anak jati Tandek, saya berikrar akan sedaya upaya membantu semampunya demi memartabatkan hak dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat di DUN ini.
Discussion about this post