Calon Barisan Nasional (BN) N70 Kukusan, Chaya Sulaiman mengakui sedih melihat belia-belia Kampung Muhibbahraya yang jaraknya hanya10 minit dari bandar Tawau tiada kemudahan beriadah.
Sehubungan itu, beliau berhasrat membina sebuah dewan di kampung yang menjadi antara penempatan terawal daerah ini sekiranya diberikan mandat selaku Wakil Rakyat pertama bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan.
“Sebagai ibu, saya sangat sayang dengan anak-anak belia kampung Muhibbahraya ini tapi saya berasa sedih dan terharu melihat mereka bermain sepak takraw di halaman rumah mereka petang tadi kerana tiada tempat dan ruang untuk beraktiviti,” katanya.
Menurutnya, dewan itu kelak boleh menjadi tempat anak muda melakukan aktiviti riadah dan sukan, malah bakal memanfaatkan penduduk kampung untuk majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya.
Katanya, beliau juga akan menyediakan ruangan khas untuk kaum wanita, termasuk ibu tunggal bagi menjalankan kelas mengaji Al-Quran dan seni kraftangan.
Begitu juga, katanya, pembinaan pintu gerbang kampung itu seperti diinginkan penduduknya, turut menjadi keutamaan beliau kelak.
Ketua Wanita UMNO Kalabakan itu berucap demikian semasa Majlis Ramah Mesra beliau bersama penduduk Kampung Muhibbahraya, pada Sabtu, malam.
Dalam pada itu, Chaya yakin dengan jentera BN UMNO serta dokongan daripada PAS, mereka akan dapat menawan Kukusan pada 26 September ini, melihat kepada komitmen mereka.
“Kita (DUN Kukusan) berdepan tujuh penjuru tapi abaikan yang enam (calon lain). Bulatkan tekad dan pilih calon nombor enam.
“Masa tidak panjang lagi (untuk pembuangan undi), jadi sekiranya ada pihak yang cuba mempengaruhi, jangan terpengaruh. Bulatkan tekad untuk kekal undi BN,” katanya yang berada di petak nombor enam pada kertas undi.
Katanya, BN perlu menang bukan sahaja dengan majoriti cemerlang pada PRN kali ini agar kerajaan baharu yang seiring dengan Kerajaan Persekutuan dapat dibentuk, atau jika tidak rakyat akan terpaksa menunggu lima tahun lagi.
Discussion about this post