Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa beliau diugut oleh Deepak Jaikishan selepas pendedahan beliau mengenai isu syarikat telur import.
Ka Siong berkata, beliau mendapat panggilan daripada individu yang mengaku sebagai Deepak dan meminta beliau untuk membuat kenyataan media dan menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah.
“Semalam jam 9.51 pagi, saya menerima panggilan daripada seorang insan yang bernama Deepak, yang mendakwa dirinya mewakili J&E Advanced Tech Sdn Bhd, yang mengatakan beliau telah berbincang dengan PMO (Jabatan Perdana Menteri) untuk saya buat satu media statement (kenyataan media) dan kita settle (selesaikan) di luar mahkamah.
“Untuk makluman, panggilan telefon tersebut dibuat pada jam 9.51 pagi selama 33 saat sebelum terputus. Kemudiannya disusuli dengan panggilan kedua pada jam 9.52 pagi dengan perbualan selama 7 minit,” kata Ka Siong menerusi hantaran yang dikongsi di Facebooknya.
Sementara itu, beliau menyarankan kepada Deepak untuk membuat laporan polis sekiranya individu tersebut hanya menyamar (impersonate) dan tampil membersihkan namanya.
Ka Siong juga menyatakan persediaan untuk memberikan kerjama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama bukti yang sedia ada sekaligus menyerahkan pihak berkuasa untuk menyiasat isu ini.
“Biarlah PDRM menyiasat perkara ini termasuk mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta syarikat telco untuk mencari identiti ‘Deepak’ yang menggunakan nombor telefon bimbit 019-9999989.
“Jika menggunakan aplikasi TrueCaller, hasil carian berdasarkan nombor tersebut dimiliki oleh seorang insan bernama ‘Deepak J Tekwani’.
“Biar PDRM siasat perkara ini sehingga ke lubang cacing! Lagi sekali saya tegaskan, saya akan terus menjadi jurucakap rakyat tanpa gentar dengan apa jua ugutan” tambahnya lagi.
Discussion about this post