Empat tahun lalu rakyat terpedaya dengan janji-janji palsu yang ditaburkan Pakatan Harapan (PH) sehingga ia menjadi faktor kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 malah sekaligus mengambil alih kerajaan Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun menurut Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, semua janji manis hanya pada kata-kata dan langsung tidak mampu ditunaikan/
Malah antara janji paling berjaya mencetuskan gelombang besar kemenangan PH itu ialah penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurut beliau, mereka menggunakan setiap ruang media sosial pada hari berkempen untuk mempengaruhi rakyat sehingga majoriti daripadanya termakan dengan janji itu.
“Empat tahun lalu pada tarikh hari ini, dipenuhi dengan pelbagai reaksi di kalangan anak muda yang begitu seronok menzahirkan kepuasan hati mereka tidak perlu lagi membayar balik hutang PTPTN.
“Ramai di kalangan ibu bapa termasuk jentera UMNO juga termakan. Masakan tidak, ada antara anak mereka bersungguh-sungguh memujuk rayu: “Abah dan mak bagilah undi sekali ini je pada PKR (PH).
“Bayangkan hutang PTPTN kakak sahaja yang kena bayar RM35,500, adik RM28,000. Kalau PH menang jimat RM63,500,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Semalam, 9 Mei genap empat tahun BN hilang kuasa pemerintahan apabila kalah teruk kepada PH pada PRU14 tahun 2018.
PH yang dibarisi PKR, DAP, Amanah dan Bersatu bagaimanapun sempat memerintah selama 22 bulan apabila dijatuhkan oleh PPBM dan sekumpulan Ahli Parlimen PKR menerusi Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Selepas itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan dengan sokongan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan BN.
Namun, pada 16 Ogos tahun lalu, Muhyiddin meletakkan jawatan dan diserahkan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan sehingga hari ini.
Discussion about this post