Isu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan Tabung Haji (YH) dan tindakan kerajaan terhadap kes kartel daging import haram bakal mencuri tumpuan kerana ia antara perkara dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah diambil kerajaan bagi mewujudkan RCI berkenaan TH bagi menamatkan polemik politik yang membelenggu institusi itu.
Soalan itu berada di senarai ketiga pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan selepas tamat sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT).
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) dalam sesi MQT meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan perkembangan siasatan dan langkah tegas kementerian menangani kes kartel daging import haram yang turut memproses daging babi di Senai, Johor baru-baru ini.
Sementara itu sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa juga diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan mengikut giliran seperti dijadualkan.
Tiga kementerian itu adalah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Disember ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Disember. – BERNAMA
Discussion about this post