Pengundian untuk meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar yang dijadual selepas penggulungan oleh Kementerian Kewangan menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Sekiranya masa mengizinkan, undian Rang Undang-undang Perbekalan 2021 akan dijalankan sejurus selepas baki sembilan menteri membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing yang dijadual selesai hari ini.
Belanjawan 2021 merupakan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada Mac lepas.
Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan berkenaan untuk perbelanjaan negara tahun hadapan.
Selain itu, menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu kawalan sempadan antarabangsa antara yang dijangka dijawab dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri susulan insiden serangan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa.
Insiden itu yang mengorbankan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, manakala Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah, akan turut diperincikan pada sesi tersebut.
Dalam pada itu Datuk Seri Ahmad Maslan mengharapkan ada berita baik akan diumumkan kerajaan hari ini.
Pertemuan dgn Menteri @tzafrul_aziz di #DewanRakyat 25/11/20
Bersama Presiden #UMNO/Pengerusi #BN @DrZahidHamidi, MP #Arau, MP #PasirSalak & saya#Moratorium bayaran pinjaman & #KWSP akaun 1 tentu dibincang.
Kita tunggu pengumuman beliau Khamis 26/11/20. Moga ada berita baik pic.twitter.com/0WOIie0eSp
— Ahmad b Maslan (@ahmadmaslan) November 25, 2020
Menerusi akaun Twitternya, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat di Dewan Rakyat semalam
Antara yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah moratariom dan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kita tunggu pengumuman beliau Khamis 26/11/2020. Moga ada berita baik,” ciapnya.
Pertemuan itu turut disertai oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.
Discussion about this post