Dua wanita, veteran dan belia menjadi antara calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Dewan Undangan Negeri N70 Kukusan yang merupakan salah satu daripada 13 kerusi baharu DUN Sabah.
Calon Barisan Nasional (BN), Chaya Sulaiman, 60, dan calon Warisan Plus, Rina Jainal, 39, akan bersaing dengan 5 calon lelaki dalam pertembungan 7 penjuru itu.
Chaya merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kalabakan sejak 2013 sehingga kini selepas 21 tahun menjadi Naib Ketua Wanita Kalabakan (1992 – 2013) dan turut menjadi Bendahari Wanita UMNO Sabah, manakala, Rina ialah Ketua Wirawati Kalabakan yang juga Naib Ketua Wirawati Sabah.
Mereka akan bersaing merebut kerusi Kukusan dengan calon lain iaitu Ismail @ Taufik Muin (Parti Cinta Sabah – PCS), Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah – PGRS) dan Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah – Harapan Rakyat).
Turut bertanding, Ismail Idris daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Rosdianshah Mohd Noor (Parti Perpaduan Rakyat Sabah – PPRS).
Penamaan calon berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.
Sementara itu, DUN N. 73 Sebatik turut menyaksikan pertembungan 7 penjuru apabila tujuh calon, termasuk dua Bebas berjaya mengemukakan borang pencalonan sehingga tamat tempoh.
Penamaan calon bagi DUN Sebatik berlangsung di Dewan SK Bandar Tawau.
Calon-calon tersebut ialah, Hassan A Gani Pg Amir (Warisan) yang hadir bersama pencadang General Linjal dan penyokong Mohd Fazrid Surimin dan Abdul Samat Akui (PCS) dengan pencadangnya Mohd Tahir Omar dan penyokong Lajja Bangsa Emanja.
Turut bertanding, Baharuddin Basrie daripada PPRS, Hassan Ibrahim (USNO) dan PN – BERSATU, Datuk Abdul Muis Picho.
Discussion about this post