AHLI Umno diseru mengelak pertelingkahan dengan mengecam kepimpinan parti yang boleh mendatangkan kerugian kepada parti itu sendiri.
Malah, Ahli Parlimen Putrajaya yang juga Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, setiap ahli perlu berpegang kepada prinsip menghormati terhadap institusi kepimpinan Umno agar nama baik parti tidak tercemar dan dipandang serong oleh rakyat.
“Tak perlulah nak perburukkan parti atau mengaibkan imej kepimpinan yang ada sebaliknya, jika benar-benar ‘dah ukur baju di badan’ bila tiba masanya nanti letaklah nama dan bertandinglah dalam pemilihan.
“Sekarang ini, hormatilah institusi yang ada kerana mereka inilah yang telah mengemudi Umno malah sanggup berlawan dan menang dalam pemilihan Umno.
“Ingatlah, bukan hanya ahli parti tapi rakyat juga sedang menilai. Umno perlu rukun dan teguh untuk kembali menjadi teraju negara kerana perjuangannya tetap relevan demi agama, bangsa dan kedaulatan tanah air, dulu, kini dan selamanya, Insyallah,” katanya di Facebook, hari ini.
Ada Apa Dengan UMNO?
Cogankata UMNO ialah ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dan tujuannya adalah berjuang mendukung…
Posted by Tengku Adnan Tengku Mansor on Tuesday, March 9, 2021
Beliau yang mesra disapa sebagai Ku Nan mengingatkan setiap ahli Umno bahawa parti itu tetap kekal relevan sebagai sebuah parti untuk orang Melayu walaupun dilanda pelbagai ujian besar sejak Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Cogankata Umno ialah ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dan tujuannya adalah berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
“Jelas… semuanya termaktub dalam Perlembagaan Umno, tapi ada yang kata Umno sekarang tak ada hala tuju… tak ada masa depan? Siapa yang berkata demikian sebenarnya adalah mereka yang gagal menghayati perjuangan Umno atau ada sesuatu yang lain?
“Umno pernah jadi tunjang kerajaan lebih 60 tahun, sudah belajar jadi pembangkang dan hari ini telah setahun jadi sebahagian kerajaan… asas tujuan Umno juga masih kekal begitu dan tidak berubah,” katanya.
Ku Nan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menegaskan, para pemimpin yang menerajui Umno ketika ini adalah pejuang Umno yang sejati kerana tidak tunduk kepada tekanan supaya menggadaikan maruah parti.
“Ahli-ahli Umno yang ada hari ini tentunya tahu benar bahawa sokongan ke atas parti bukan semata-mata atas individu atau ada kepentingan peribadi kerana jika itu yang jadi paksi tentunya parti tidak akan berdiri.
“Siapa para pemimpin Umno hari ini… sebenarnya merekalah pejuang parti kerana tetap bersama-sama ketika hilang kuasa, malah sanggup berdepan pelbagai kesulitan dengan tekanan yang bukan mudah, harga diri dipermainkan dan jadi mangsa perundangan terpilih yang terang-terang berlaku.
“Mana yang beralih sokongan maka akan terselamatlah dari cengkaman dan mana yang tinggal dalam Umno terimalah natijahnya… tak apalah kerana Lillahi Taala penentu segala,” catatnya.
Justeru, Ku Nan juga menyeru ahli parti tidak melupakan jasa pemimpin yang telah bersusah payah mempertahankan Umno ketika dirundung malang.
“Benar, selepas tarikh 9 Mei 2018 teraju parti ramai yang beralih tetapi ramai juga yang mengganti, dan pemilihan parti tahun itu pun ramai yang tawar diri.
“Mereka ini tetap dengan parti kerana yakin dan pasti dengan kebenaran. Umno tetap Umno… laksanakan amanah dan tak mahu terus menangisi mana-mana individu yang jadikan parti batu loncatan atau tempat berpaut ketika berada dalam kesusahan.
“Sehingga kini asas tujuan Umno juga masih tak berubah. Sama ada Umno sebagai kerajaan, pembangkang atau menyokong kerajaan, Umno tetap juga menerima pelbagai kecaman.
“Umno diserang dari pelbagai pihak, bukan hanya pihak lawan atau bekas pemimpin Umno sendiri, tetapi ada juga yang cuba nak menangguk mencari peluang.
“Sekurang-kurangnya jika tak mahu kenang jasa mereka pun janganlah pula nak perburukkan organisasi dan institusi Umno yang telah terbina,” katanya.
Discussion about this post