Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada rakyat Malaysia supaya mengambil berat tentang keadaan mereka yang tidak berkemampuan lebih-lebih lagi mereka yang berada di sekeliling kita.
Melalui posting Facebook rasminya, Zahid berkongsi mengenai situasi semasa yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia berikutan peralihan negara ke fasa endemik.
”Fasa ini telah menyaksikan hampir kesemua aktiviti ekonomi dan sosial kini kembali dibuka sepenuhnya.
“Begitu juga dengan pembukaan semula sempadan negara. Keadaan ini memberi sinar kepada ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sebelum ini,” kata Zahid.
Zahid juga meluahkan keprihatinannya mengenai angka mereka yang terkesan iaitu seramai 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini telah beralih kepada pendapatan kumpulan B40 setakat yang direkodkan akhir tahun lalu.
Selain itu pada tahun 2020, peratus kemiskinan mutlak telah meningkat kepada 8.4 peratus berikutan terlaksananya Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) berbanding 5.6 peratus pada 2019.
“Kita percaya sebahagian golongan ini masih lagi bergelut untuk bangkit semula daripada kemusnahan yang amat teruk gara-gara pandemik,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Zahid turut berpesan agar kita terus berusaha untuk mendapatkan bantuan dari pihak berwajib untuk membantu mereka yang dalam kesempitan.
Beliau mengingatkan bahawa peralihan kepada endemik ini bukan magis yang dapat mengubah taraf kehidupan seseorang dengan sekelip mata.
Mereka perlukan masa untuk menstabilkan ekonomi sendiri .
“Kita bersyukur pengeluaran wang daripada KWSP akan membantu mereka yang masih belum berakhir daripada impak pandemik.
“Bagaimanapun bagi mereka yang bukan pencarum KWSP pasti masih tercari-cari mekanisme untuk keluar daripada kepompong kesulitan,” tambahnya lagi.
Discussion about this post