Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri turut berkongsi berita baik berkaitan Felda apabila syarikat perladangan FGV Holdings Bhd mencatatkan keuntungan besar sehingga mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.17 bilion bagi tahun kewangan 2021.
“Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kepada FGV yang mencatatkan keuntungan RM1.17 bilion bagi tahun kewangan 2021 dan keuntungan ini pastinya memberi impak positif secara langsung kepada Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang kini memiliki 82 peratus saham FGV.
“Saya lihat warga FELDA kembali tersenyum kerana dapat meraih pendapatan lebih tinggi berikutan lonjakan harga sawit di pasaran,” katanya.
Berhubung dengan itu, Tabung Usahawan Belia FELDA akan diwujudkan semula dengan dana permulaan RM10 juta daripada FELDA bagi melonjakkan taraf sosioekonomi generasi baharu FELDA selain menjadi pemangkin aktiviti ekonomi di kawasan FELDA.
Ismail Sabri juga berkata banyak pihak mendakwa mereka bertanggungjawab dan sayang kepada Felda namun terdapat bukti yang menunjukkan perbuatan mereka tidak seperti yang diperkata.
“Kalau nak kata orang lain sayang kepada Felda, ada bukti bahawa mereka tidak seperti apa yang mereka sebutkan. BN lah yang sayang kepada Felda dan peneroka,” kata beliau.
Jadi, sebab itulah tuan-tuan dan puan-puan, kita (mahu) berterima kasih seperti orang lain tetapi yang pentingnya, kita sedar kejayaan Felda adalah hasil perjuangan kepimpinan BN daripada dahulu hingga kini,” katanya semasa berucap pada Majlis Transformasi Perladangan Felda di Balai Raya Felda Endau hari ini yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Saddique dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.
Kejayaan yang dikecapi Felda pada hari ini adalah hasil perjuangan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dari dahulu hingga kini, katanya.
Beliau berkata Felda juga tidak akan wujud tanpa perjuangan seorang daripada pemimpin BN iaitu Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar terutama orang Melayu.
“Agenda tersebut masih diteruskan oleh kepimpinan BN selepas itu sehingga ke hari ini…”, ujarnya.
Discussion about this post